.:BiSIKaN SeoRaNG WaNiTA:.

...world is just a dust if Quran is in our chest...

.:Menanti Hikmah:.

"Wahai Tuhanku jangan Engkau serahkan aku ini kepada diriku, aku tidak mampu untuk menguruskannya. Dan jangan Kau serahkan diriku ini kepada orang lain nescaya mereka akan menghilangkan (cuai terhadap) aku."-Ali Zainul Abidin.

Berkali- kali dipanjatkan doa ini di dalam hati. Terkadang sehingga terlafaz keluar daripada mulutnya. Humaira lalu memejamkan mata, kemudian cuba membukanya perlahan- lahan. Berharap bahawa semua yang terjadi hanyalah sebuah mimpi.

Humaira ingin mengurai segala- galanya. Ingin sekali mencari 'diri'nya yang telah lama hilang. Dia yang dahulunya sangat tabah, namun sekarang tersungkur lemah. Dirasakan dugaan yang dihadapinya berat, seolah- olah ada batu besar yang sedang menghempap dirinya.

Humaira masih teringat, sejak kecil dirinya punya impian yang cukup tinggi. Dia ingin sekali melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di University of Nottingham, United Kingdom. Dan kerana harapan itulah, dia menyusun strategi belajar yang cukup tersusun agar dia dapat mencapai cita- citanya. Takdir Allah, dia mendapat biasiswa untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan, cuma tempatnya bukan di UK, tapi di Rusia. Sedikit demi sedikit Humaira dapat menerima kenyataan bahawa impiannya ke UK hanyalah tinggal angan- angan. Tujuh bulan dia melalui pahit manis perjuangan di sebuah pusat persediaan sebelum berangkat ke Rusia.

Manusia merancang, Allah jua merancang. Namun Allah sebaik- baik perancang. Humaira diuji apabila dia tidak dapat meneruskan perjuangannya di Rusia. Dia tetap bersyukur kerana dirinya masih digolongkan dalam kalangan pelajar- pelajar perubatan yang akan ke India. Sebulan berlalu, Humaira sudah mula dapat menyesuaikan diri di perantauan. Tiba- tiba dia dikejutkan dengan berita kemalangan adiknya, Julia. Memandangkan Julia merupakan satu- satunya keluarga yang dimiliki sejak kehilangan seluruh ahli keluarganya kecuali Julia sewaktu gempa bumi di selatan Thailand, dia tidak punya pilihan lain. Dia terpaksa pulang ke Malaysia untuk menjaga Julia. Bermula detik itu, dia seakan hilang kekuatan dalam diri. Barangkali kerana mengenangkan terlampau banyak kepahitan yang harus dia lalui. Pernah juga dia tertanya- tanya mengapa jalan yang harus dia lalui tidak semudah sahabat- sahabatnya yang lain tempuhi.

Humaira lupa. Dia lupa bahawa setiap sesuatu yang berlaku adalah ketentuan Ilahi. Sekuat mana pun dia berusaha untuk mendapatkan sesuatu, dia harus sedar bahawa semuanya hanya akan terjadi dengan keizinan yang Maha Esa. Tersungkur Humaira di atas sejadah. Dia beristighfar panjang, menyesal atas kelakuannya yang seolah- olah tidak redha dengan ketentuanNya. Dan kali ini, Humaira dihadapkan dengan dua pilihan, pilhan yang akan menentukan masa depan hidupnya. Dia harus memilih untuk kembali belajar dalam bidang perubatan ke India dalam keadaan adiknya yang masih belum sembuh total atau belajar di Malaysia, tetapi bukan dalam bidang perubatan. Humaira sedar tanggungjawab lebih menuntut agar dia tetap tinggal di Malaysia meskipun dia terpaksa mengorbankan impiannya untuk menjadi doktor.

"Ya Allah...jangan sesekali Engkau biarkan aku sendiri dalam membuat keputusan ini.." hatinya merintih.

Hening malam menjadi saksi bahawa Humaira tidak pernah jemu memohon petunjuk Ilahi. Hari berlalu, Humaira masih dalam kebingungan. Sehinggalah pada satu saat bermula kisah baru dalam hidupnya. Dibukakan jalan seluas- luasnya untuk dia menyambung pelajarannya dalam bidang medical bioscience di universiti swasta tempatan. Pada awalnya, sukar untuk dia menerima bahawa dia harus mengambil bidang ini. Namun, dia tetap percaya bahawa jalan ini adalah jalan yang terbaik untuknya. Pada Allah dia serahkan segala urusan. Humaira melewati hari- harinya dengan cukup tenang dan sabar. Sedikit demi sedikit, dia temukan kebahagiaan yang dicari selama ini.

"Jauhnya sayang abang ni termenung.." Satu suara menyapa dari arah belakang.

"Maafkan Humaira bang.. tiba- tiba rasa rindu nak balik Malaysia.." Humaira membalas ringkas, cuba menyembunyikan apa yang bermain di fikiran, namun tetap dapat dibaca oleh suaminya, Aiman.

Humaira tersentak. Sungguh jauh dia mengelamun. Buku- buku yang awalnya ingin dipinjam untuk kegunaan assignment masih berselerak di atas meja perpustakaan. Cepat- cepat dikemas buku- buku itu untuk dipinjam. Humaira dan Aiman bergegas keluar dari perpustakaan tersebut kerana hari sudah lewat malam. Mereka berlari- lari anak meninggalkan The University of Sheffield, menuju ke rumah sewa mereka yang terletak tidak jauh dari situ.

Begitulah kehidupan yang Humaira lalui kini. Setiap hari dia akan setia ditemani oleh suaminya di perpustakaan sehingga lewat malam. Semuanya dengan harapan agar dia dan suaminya dapat sama- sama membawa pulang Ijazah Sarjana dalam Human Genetics. Sungguh dia bersyukur kerana Allah mengurniakan nikmat kepadanya lebih daripada apa yang dia harapkan. Berkat kesabaran, dia bukan sahaja dapat menyambung pelajaran di UK, tapi dia juga dapat menikmati saat- saat indah di bumi impian bersama seorang imam yang benar- benar membahagiakannya.

                             gambar hiasan, library of sheffield uni: destinasi impian
...................................................................................................................................................................

p/s: disebabkan sudah terlalu lama tak menulis, otak semakin membeku untuk mengeluarkan idea. Jadi kali ini mungkin coretan yang lebih simple, namun harapnya ada ibrah yang dapat diambil.

Antara ibrah episod menanti hikmah:

1. Jangan sesekali meragui nikmat Allah, kerana ia datang dalam pelbagai bentuk. Kata Hamka, "lihatlah bagaimana Allah membagi- bahagikan nikmat."

2. Tiada siapa mampu menghalang ketetapan Allah. Jika Allah hendak memberikan kebahagiaan kepada seseorang, dia tidak boleh ditahan dengan apa- apa tangan sekalipun. Jika Allah menghalang kebahagiaan kepada seseorang, dia tidak boleh dihulur oleh apa- apa tangan sekalipun.

3. Jika Allah mengatur untuk kita apa yang orang sangka tewas, kita akan melihat kemenangan dari sisi Allah. Apa yang orang rasa rugi, Allah akan memberikan keuntungan yang mana jalan- jalan manusia tak sangka. Tetapi Allah boleh mewujudkan keajaiban dalam kehidupan. So, la tahzan (jangan bersedih).

4. Pengalaman sering mematangkan kita. Siapa yang tidak melaluinya tidak akan memahami maksudnya. Orang- orang yang pernah hidup dan bertawakkal, dia akan mengetahui tentang keajaiban bertawakkal.

5. Kadang- kadang kita lupa untuk bersyukur di atas pelbagai ranjau kehidupan yang telah Allah keluarkan kita daripadanya. Hari ini kita masih mampu hidup walaupun pelbagai musibah melanda.

6. Bersabarlah dalam menghadapi dugaan hidup. Sabar itu indah, didikan terus daripada Allah. Sesungguhnya Allah bersama orang- orang yang bersabar.

7. Apabila insan melihat dunia daripada dimensi akhirat, dia akan merasakan dunia ini sangat kecil. :)

Wallahua'lam.




.:OPEN YOUR EYES: Suatu Permulaan:.

Bismillah.


Aku telah redha dengan Allah sebagai Tuhanku, Islam sebagai agamaku, dan dengan Muhammad sebagai nabi dan rasulku.

Open Your Eyes.
Suatu permulaan.

4 Ogos 2012 merupakan hari yang membuka lembaran baru dalam hidup ana. Pengalaman pertama menganjurkan program ternyata memberi seribu rasa yang sukar untuk diterjemahkan. Banyak kisah di sebalik pembikinan program ini. 

Program 'Open Your Eyes' Pengawas TEPCES 2012 adalah sebuah program pembangunan ummah khas untuk adik- adik pemimpin pelajar SMK Chukai. Program anjuran bersama Alumni Pemimpin Pelajar 2009, Badan Pengawas Sekolah dan Unit Bimbingan dan Kaunseling ini merupakan sebuah perkongsian terus dari hati oleh bekas pelajar batch pertama primier SMK Chukai kepada adik- adik pengawas yang merupakan pelapis pemimpin Islam pada masa hadapan.

Walaupun tercalit sedikit cabaran dan halangan untuk mengadakan program ini, namun itulah jalan perjuangan. Ada sesuatu yang menguatkan hati ana untuk terus bergerak. Ana tidak mahu adik- adik di TEPCES menjadi seperti ana sewaktu di alam persekolahan dahulu. Menjadi manusia yang paling rugi kerana telah mensia- siakan usia mudanya, manusia yang hanya tahu memikirkan diri sendiri tanpa memikirkan masalah ummah dan manusia yang barangkali lupa untuk hidup berTuhan dalam erti kata yang sebenar. Secara peribadinya, diharapkan juga program ini sedikit sebanyak dapat menebus kesilapan lalu yang telah mencuaikan amanah sebagai penolong ketua pelajar perempuan. Cukuplah dengan masa lalu. Moga ianya menjadi pedoman.

Jutaan terima kasih diucapkan kepada murabbi, Ustaz Affuan yang telah banyak membantu dan memberi kekuatan sepanjang pembikinan program ini. Sekalung penghargaan juga kepada pihak sekolah khasnya kepada guru pengawas, Teacher Azahan dan kaunselor, Cikgu Aziz kerana telah memberi kepercayaan penuh kepada kami untuk mengadakan program ini. Terima kasih yang tidak terhingga juga kepada sahabat- sahabat fasilitator (Wan Ahmad Hidayat, Mohammad Afiq, Affan Aufa, Azwan, Ahmad Ansarullah, Nurul Athirah, Nadiah, Nadia, Farhana dan Farah Aqilah) yang ana kirakan tanpa mereka, tidak mungkin program ini akan berlansung. Juga, penghargaan yang mungkin tidak dapat diungkap dengan kata- kata buat saudara Affan Aufa, sahabat ana dari INTEC yang sanggup turun dari Machang, Kelantan bersama- sama modulnya semata- mata untuk mengislahkan adik- adik di TEPCES. Jazakumullahu khairan kathira.

Pagi yang tenang, menandakan permulaan perjalanan program yang baik. Melihat wajah adik- adik pengawas membuahkan rasa rindu yang membuak- buak kepada alam persekolahan. Selesai sesi pendaftaran, program diteruskan dengan pembukaan oleh pengerusi majlis, bacaan doa dan ucapan oleh bekas penolong ketua pelajar lelaki 2009.

                                                              Sesi pendaftaran peserta

Pengerusi Majlis, Nadiah memulakan program

Bacaan doa pembukaan program

Ucapan oleh Hidayat, bekas penolong ketua pelajar lelaki

Program diteruskan dengan sesi ice breaking, pembahagian kumpulan dan pembahagian barang amanah kepada kumpulan masing- masing. Setiap kumpulan diarahkan untuk menjaga barang amanah yang diberikan. Realitinya, sememangnya mereka memikul amanah yang besar sebagai pengawas sekolah. Sebagai manusia, kita juga menggalas amanah yang amat berat, iaitu sebagai khalifah Allah di muka bumi. Barangkali masih ada yang mengambil enteng terhadap amanah Allah. Namun, ingatlah betapa beratnya amanah Allah ini sehinggakan seluruh isi alam tidak sanggup untuk memikulnya kecuali manusia.

'Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, "Aku hendak menjadikan khalifah di bumi." Mereka berkata, "Apakah Engkau hendak menjadikan orang yang merosak dan menumpahkan darah di sana, sedangkan kami bertasbih memuji-Mu dan menyucikan nama-Mu?" Dia berfirman, "Sungguh, Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui." [Al- Baqarah: 30]

Bermulalah modul yang pertama iaitu Siapa Diri Kita. Modul ini dijalankan di foyer sekolah kerana pendekatannya lebih kepada aktiviti dan permainan dalam kumpulan. Permainan yang pertama dinamakan 'Destinasiku'. Ibrah daripada permainan ini ialah penetapan matlamat hidup yang jelas, keupayaan untuk menggunakan daya kreativiti dan kesungguhan dalam mencapai matlamat hidup yang telah ditetapkan. Dalam kehidupan, pastinya ada liku- liku yang sememangnya memerlukan kekuatan dalaman demi mencapai matlamat akhir kehidupan. Permainan yang kedua, 'Kau dan Aku' menekankan semangat kerjasama dalam kumpulan dan kepatuhan kepada arahan ketua. Manakala permainan yang ketiga, 'Carca Marba' menuntut pengawas agar teliti dalam mendengar arahan. Melihat celoteh adik- adik sepanjang modul pertama dijalankan benar- benar mencuit hati kami sebagai fasilitator.

Sesi ice breaking dan pembahagian kumpulan

                                                             Permainan 'Destinasiku'

Penerangan ibrah permainan oleh saudari Adibah
                                               
Permainan 'Kau dan Aku'

Penerangan ibrah permainan oleh saudara Afiq

                                                            Permainan 'Carca Marba'                        

Penerangan ibrah permainan oleh saudari Athirah

Usai modul pertama dijalankan, kami terus melangkah ke modul yang kedua iaitu Quo Vadis (Nak Ke Mana). Dalam modul ini, adik- adik pengawas berpeluang untuk berkongsi pengalaman hidup bersama fasilitator yang juga merupakan senior mereka. Penekanan diberikan kepada arah tuju selepas alam persekolahan, tips- tips menghadapi peperiksaan, dan cara- cara untuk 'survive' dalam kehidupan. Kehidupan yang mencabar di luar sana pastinya memerlukan kekuatan dalaman. Untuk itu, kami selitkan juga elemen dakwah dan tarbiyah agar mereka sedar bahawa Islam itu bukan sahaja sekadar agama, tetapi juga sebagai cara hidup yang terbaik.

Selesai modul kedua, pengawas diberikan rehat selama 15 minit untuk rehat minda dan solat dhuha. Kemudian, kami bergerak ke bilik mesyuarat untuk modul ketiga iaitu Pewaris Al- Fateh. Modul ini dikendalikan oleh saudara Affan Aufa. Modul ini merupakan antara modul yang sangat menarik dan membuka minda adik- adik tentang hebatnya Islam dalam mentadbir dunia suatu ketika dahulu. Kemudian, dipaparkan video tentang realiti Islam pada masa kini. Pergolakan yang berlaku di negara- negara Islam seperti di Palestin, Syria dan di negara- negara Islam yang lain menuntut kita untuk bergerak. Bergerak untuk mengembalikan kegemilangan Islam. Islam perlukan pemimpin- pemimpin yang hebat seperti Sultan Muhammad Al- Fateh, Salahuddin Al- Ayubi dan para sahabat yang berjuang dengan jiwa dan harta demi mempertahankan Islam. Modul ini diharapkan berjaya mengobarkan semangat yang membara dalam jiwa adik- adik supaya menyumbangkan kejayaan mereka untuk Islam.

                                          Modul Pewaris Al- Fateh bersama saudara Affan
                     
                       Peserta menumpukan perhatian kepada video yang ditayangkan

Selesai solat zohor berjemaah di surau sekolah, kami kembali ke bilik mesyuarat untuk modul yang terakhir iaitu Keluarga bahagia. Modul yang juga dikendalikan oleh saudara Affan Aufa merupakan modul kerohanian yang berjaya menyentuh hati adik- adik. Bermula dengan video yang mengembalikan kita kepada fitrah kehidupan, kelahiran dan kematian. Dalam slot ini juga, secara peribadinya ana juga tidak mampu untuk menahan air mata dan sebak di dada tatkala saudara Affan menyentuh tentang jasa bonda dan azabnya neraka Allah. Terasa diri ini sangat kerdil dan hina, betapa tidak layaknya untuk memasuki syurga Allah lantaran tidak terhitungnya dosa- dosa yang pernah dilakukan. Astaghfirullahal 'azim.

                   Sesi muhasabah menyentuh hati fasilitator dan adik- adik pengawas

                                     Modul Keluarga Bahagia bersama saudara Affan

Dengan berakhirnya modul Keluarga Bahagia, maka program 'Open Your Eyes' menutup tirai. Sesi penutup diserahkan kepada ana sendiri dan saudara Afiq. Menyimpul kembali segala aktiviti yang telah dijalankan sepanjang hari dan menyatakan harapan kami kepada adik- adik. Begitu besar harapan yang kami letakkan iaitu untuk melihat bi'ah solehah di TEPCES. Moga- moga akan lahirnya pemimpin Islam yang hebat dalam kalangan pelajar TEPCES suatu hari nanti.

Setiap pertemuan pastinya menuntut perpisahan. Usah diucap selamat tinggal atas perpisahan yang berlaku kerana berpisah di dunia adalah untuk kita bertemu lagi, jika tidak di dunia, di syurga Allah yang Maha Luas nanti. InsyaAllah. Perginya kami dari TEPCES meninggalkan seribu kenangan yang tak mungkin dapat dilupakan. Moga Allah menghimpunkan kembali kita semua dalam pertemuan yang penuh barakah suatu saat nanti. Moga Allah redha akan program ini dan memperbetulkan niat kami supaya melakukan segala pekerjaan semata- mata untuk meraih mardhatillah. Amin.

Sekian sahaja untuk coretan kali ini. Salam sayang dan salam perjuangan daripada kami, barisan fasilitator buat adik- adik dan guru- guru di TEPCES. Mohon didoakan agar kita semua dapat meraih kejayaan di dunia dan akhirat. InsyaAllah.

              Sahabat- sahabat fasilitator (three missing in action: Farah, Farhana, Nadia)


TBH,
Kemaman.





.:Hingga Hujung Waktu:.

Bismillah.

Aku telah redha dengan Allah sebagai Tuhanku, Islam sebagai agamaku, dan dengan Muhammad sebagai nabi dan rasulku.

Hari ini, terasa sungguh lain. Bayu pagi bumi Shah Alam seolah- olah memahami alunan hati yang sedang sarat dengan perasaan yang sukar untuk diterjemahkan. Hati yang awalnya berbunga rindu, akhirnya berubah menjadi sayu.

Selama ini, Allah hadirkan dia untuk aku. Tapi, aku tak pernah menghargai. Sering aku sakiti dia. Sehinggakan, kadang kala aku merasakan aku sengaja menafikan kewujudan dia. Barangkali, setelah Allah ambil dia dariku, baru aku mengerti akan mahalnya sebutir mutiara.

Aku pernah jatuh cinta pada dia. Bahkan rasa cinta itu membatasi segala- galanya. Tapi aku malu untuk mengungkapkan. Mungkin kerana ego yang tinggi melangit, dipendam saja rasa ini di dasar hati, sedalam- dalamnya. Cukuplah Allah saja yang mengadili.

Dan kerana cinta itu, aku terpaksa tinggalkan dia untuk sementara waktu. Jalanku berbeza dengannya. Langkahku semakin menjauh ke barat, dia pula ke timur. Tika berjauhan, baru aku sedar betapa aku sayangkan dia. Benarlah kata orang, absence makes heart grows fonder.

Aku tahu, dia juga berkongsi perasaan yang sama denganku, persis. Walau dia tak pernah melafazkan, tapi memadailah pengorbanan yang dia berikan untukku sebagai tanda cinta dan kasihnya dia padaku.

Aku akur, dialah insan pertama yang mengajarkan aku erti cinta, erti rindu bila berjauhan. Barangkali inilah cinta yang orang gembar- gemburkan. Saban hari, aku sering mendambakan akan ada seseorang yang hatinya, budinya, senyumannya saling tak ubah seperti insan yang aku cintai ini. Kerna aku tahu, insan ini takkan mungkin selamanya berada di sampingku.

Aku bersyukur kerana dengannya, hidup aku lebih bermakna.

I praise Allah for sending me you my love
You found me home and sail with me
And i'm here with you
Now let me let you know..

Jika Maher Zain tujukan lagu ini untuk isterinya, aku juga punya keinginan itu. Bagiku, bait- bait lagu merupakan salah satu cara untuk aku luahkan segala yang aku rasa.

You've opened my heart
I was always thinking that love was wrong
But everything was changed when you came along
And there's a couple words i wanna say...

Ya, sejak kehadiran dia, hidup aku terasa lebih terisi. Rasa amat dihargai, kerana masih ada yang sudi menyayangi. Dulu, aku sering merasakan cinta itu salah. Mungkin kerana salah memberi, mungkin juga belum tiba masanya. Yang ada, cinta hanya membinasakan. Cinta juga mengundang kemurungan. Tapi setelah aku jatuh hati padanya, cinta itulah segala- galanya. Sehinggakan, aku rela andai Allah mengambil segala- galanya dariku demi membiarkan dia terus bahagia. Bagi aku, bahagia aku adalah melihat dia tersenyum. Derita aku jika air matanya tertumpah meskipun cuma setitis.

For the rest of my life, I'll be with you
I'll stay by your side, honest and true
Till the end of my time, I'll be loving you, loving you
For the rest of my life, through days and night
I'll thank Allah for opened my eyes
Now and forever I, I'll be there for you
I know it deep in my heart

Aku sedar, walau seringkali aku menyakitinya, dia tak pernah melatah. Bahkan, dibalas pula dengan senyuman. Aku tahu, dia terluka. Namun, kuasa cinta, lautan api sanggup diredah. Dia tak pernah bosan menyayangi aku. Malamnya tak pernah sunyi merintih agar aku sentiasa bahagia, walaupun dia sendiri terkorban. Dia tahu aku takkan selamanya bersama dia. Bukankah cinta tak seharusnya memiliki? Mungkin ada benarnya. Dia tetap tersenyum dalam pedih. Baginya, cukuplah melihat aku bahagia.

Aku tahu, dia setia untuk aku. Dia akan terus menanti dan menanti. Walaupun suatu hari nanti, dia terpaksa melepaskan aku pergi. Tapi, dia tetap bersabar. Terus berharap menanti hikmah. Dan kerana peribadinya itulah, aku terpesona.

I feel so blessed when i think of you
And I ask Allah to bless all we do
You're the one and my friend and my strength
I pray we're together in Jannah
Finally now I've found myself, I feel so strong
Yes everything was changed when you came along..

Aku ingin terus berada di sampingnya. Aku tak mahu lagi memendam rasa ini. Biarlah seluruh dunia tahu bahawa aku sangat menyayangi dia. Aku terlampau rindukan dia. Aku tak ingin lagi menyakiti dia. Aku ingin terus membuat dia bahagia. Kerana dia, permata hatiku. Juga cinta pertama dan terakhirku.

And now that you're here, in front of me
I strongly feel love
And I have no doubt, I'll sing it loud
That I will love you eternally..

Hingga hujung nyawa, ku serahkan cinta, kasih dan sayang ini hanya untukmu..

Lebih indah andai lafaz cinta itu diluahkan pada 'dia'.
Kerana cinta padanya, membawa kita ke syurga.


Ibu,
Di saat kita berjauhan, rasa ingin ku berlari,
Mendakapimu penuh girang, bak si kecil kehilangan,
Tiada aku tanpa ibu, hanya kau satu di dunia,
Bertahta dikau di jiwaku, kaulah ibu yang tercinta..

Andai saja Kemaman itu cuma satu minit perjalanan.
Ah, betapa aku rindu pada insan yang tulus suci mengasihiku,
Mengajarkan aku erti bahagia.

TBH,
Kamar 2206,
Akasia, SA.

















.:Warkah Hamba Yang Berdosa:.

Bismillah.

Aku telah redha dengan Allah sebagai Tuhanku, Islam sebagai agamaku, dan dengan Muhammad sebagai nabi dan rasulku.

Demi jiwa yang sering menyesali diri sendiri,
Sesungguhnya aku lah hambaMu yang sangat hina.

Seperti bermain tarik tali.
Mudahnya melafazkan kata taubat,
Akhirnya tersungkur dan tersungkur lagi.

Aku telah merampas hak Dia,
Aku lalai dalam mengingatiNya,
Aku mengaku aku beriman,
Aku berikrar bahawa Dialah segala- galanya,
Tapi mana buktinya?

Yang ada,
Aku terus- terusan menzalimi diri sendiri!

Aku merampas hak orang tuaku,
Kononnya aku lah orang yang paling sibuk sedunia,
Aku mengaku sayangkan mereka,
Aku akur ingin berbakti untuk mereka,
Tapi di mana aku?
Di mana aku, saat mereka perlukan aku?

Aku lah hambaMu yang angkuh itu,
Mendabik dada, seolah- olah aku lah yang paling mulia.
Wahai diri yang tak kenang budi TuhanMu,
Cukup lah merasakan dirimu kuat,
Sedang kamu belum benar- benar diuji.

Amalan yang cuma sebesar biji sawi,
Bahkan dicemari dengan noda- noda,
Ikhlasnya yang entah ke mana,
Ah, sudah cukup bersediakah aku di Mizan nanti?

Ya Allah,
Ampunkan hambaMu ini.


Damba Kasih- Inteam

Semakin jauh ku dari-Mu
Semakin dekat pula Kau menghampiri daku
Oh Tuhan yang Maha Pengasih
Siapalah diriku di pandangan-Mu

Semakin cuba ku dekati
Semakin kuat pula Kau mendugai aku
Oh Tuhan yang Maha Sempurna
Kerdilnya diriku dihadapan-Mu

Bagaimanakah nantinya tika berhadapan dengan-Mu
Sudikah Kau menerima hamba-Mu yang hina ini
Ya Allah, Kau Maha Pengampun

Di bayangan mentari aku kealpaan
Dusta dunia penuh kepura- puraan
Di kala dinihari aku kepasrahan
Mendamba jernih embun kasih sayang-Mu Oh Tuhan

Andainya dihitung amalanku
Belum pasti dapat ku hampiri gerbang syurga-Mu
Oh Tuhan Yang Maha Pemurah
Hindari diriku dari siksa-Mu..Oh Tuhan

Kasih sayang-Mu Tuhan
Itu yang ku dambakan
Dengan rahmat-Mu ampunilah diriku...

TBH,
Kemaman.







.:Mungkinkah aku ke sana?:.

Bismillah.
Aku telah redha dengan Allah sebagai Tuhanku, Islam sebagai agamaku, dan dengan Muhammad sebagai nabi dan rasulku.

Mencari, mencari, dan terus mencari.
Aku cintakan ketenangan, tapi Dia uji dengan keresahan.
Betapa Allah sayang padaku, mentarbiyah diri agar lebih hampir dengan Dia,
Mengharapkan pertemuan yang pasti di sana, detik penuh ketenangan dan kebahagiaan.

Di bumi ini ketenangan yang ku cari,
Namun apakah benar akan ditemui?
Aku sendiri tak pasti.

Mungkinkah?
Namun ku terus mencari dan mencari,
Ditemani air mata kudus merintih,
Barangkali masih ada sisa kebahagiaan yang dapat ku kutip.

Saat waktu berputar,
Aku masih lagi terpinga- pinga.
Di mana dia, ketenangan yang aku impikan?
Ah, betapa sedikit sekali hambaMu ini bersyukur.

Takut. Resah. Gelisah.
Itu yang sering aku rasakan.
Tenang. Damai. Bahagia.
Terkadang saja aku alami.
Tanda hati masih sakit.
Perlu dirawat dan dibasmi segala kotoran.

Tuhan,
Izinkan aku untuk menikmati syurga dunia.
Kerna aku sangat takut jika tanpanya,
Kelak aku tersungkur di pintu syurga.

"Sesungguhnya di dunia ini terdapat syurga yang siapa tidak pernah memasukinya, tidak akan memasuki syurga akhirat."-Ibnu Taimiyah

Eh,
Andai syurga dunia (nikmat) pun aku terlepas,
Apakah nasibku di negeri abadi nanti?


Ketenangan: Mungkin hanya imaginasi di sini, di sana pasti.

Tak mengapalah,
Andai di sini bergolak.

Tapi di sana,
Aku mengharapkan rahmatMu.
Oh, betapa syurga itu sedang melambai- lambai.
Dan aku tergoda!

Syurga Itu Benar

Sesungguhnya syurga itu benar,
Diyakini oleh orang yang benar,
Diraih melalui amalan- amalan yang benar,
Disampaikan oleh Allah yang Maha Benar,
Kepada RasulNya yang benar lagi dibenarkan.

Rasulullah s.a.w bersabda,
"Demi Allah yang diriku ada di tanganNya, sekiranya kalian melihat apa yang pernah aku lihat, nescaya kalian sedikit ketawa dan banyak menangis,'"

Para sahabat bertanya,
Wahai rasulullah, apa yang engkau lihat?"

Baginda menjawab,
"Aku pernah melihat syurga dan neraka."
(Riwayat Muslim)

Aku yakin syurga itu benar,
Tapi amalanku, sudahkah menzahirkan keyakinan itu?

Ketenangan Yang Hakiki

Di sana tiada derita,
Bahkan usia kan kekal remaja,
Wajah ceria berseri,
Tanda nikmat tak terperi.

Indahnya syurga itu janjiNya,
Bagi insan yang bertaqwa.

Bidadari dan para pemuda syurga,
Bagaikan kilau mutiara,
Sungai yang mengalir beraneka rasa,
Limpah rahmat yang Esa.

Tiada duka, tiada resah,
Dan tiada jemu yang melanda,
Di sanalah keindahan, kebahgiaan jiwa yang hakiki,
SELAMANYA...
(Taman Firdausi: Inteam)

Sesuatu Yang Menggoda

"Bagaimana kita harus menilai suatu tempat yang dicipta oleh Allah dengan 'tanganNya' sendiri iaitu syurga. Bersiaplah dari sekarang untuk menyaksikan sendiri, insyaAllah."
-Anas bin Malik

Manusia, fitrahnya inginkan bukti.
Nah, Allah dah sebut semuanya,
Bahkan rasulullah sendiri pernah melihatnya:

Keadaan Ahli Syurga

Rasulullah bersabda, "Berseru seorang penyeru (di dalam syurga) bahawa kamu akan selalu sihat dan tidak akan jatuh sakit selama- lamanya, akan hidup tidak akan mati selama- lamanya, akan muda dan tidak akan tua selama- lamanya, akan berasa senang tidak susah atau bosan selama- lamanya." (Riwayat Muslim)

Makanan dan Minuman

Firman Allah, "Diedarkan kepada mereka piring- piring dan gelas- gelas daripada emas dan di dalamnya (syurga) itu apa- apa sahaja yang kamu inginkan dengan nafsu dan indah dipandang mata, dan kamu kekal di dalamnya." (Al- Zukruf: 71)

Kebun- Kebun Syurga

Firman Allah, "Selain dua syurga tersebut, ada dua syurga lagi. Maka nikmat Tuhanmu yang manakah hendak kau dustakan? Kedua- duanya hijau tua. Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang hendak kau dustakan? Di dalam kedua- dua syurga itu ada mata air yang memancar, maka nikmat Tuhanmu yang mana hendak kau dustakan? Di dalam kedua- duanya ada buah- buahan, kurma dan delima." (Al- Rahman: 62- 68)

Pakaian dan Perhiasan Syurga

Firman Allah, "Bagi mereka disediakan syurga- syurga yang kekal megalir di bawahnya sungai- sungai, dihiaskan mereka di dalamnya dengan gelang- gelang emas, memakai pakaian hijau daripada sutera halus dan sutera sulaman emas, sambil bersandar di tempat- tempat duduk yang tinggi, baik sekali ganjaran Allah itu dan bagus sekali (syurga) sebagai tempat duduk." (Al- Kahf: 31)

Pelayan

Firman Allah, "Akan melayani mereka anak- anak muda yang tidak akan berubah keadaan mereka, apabila engkau melihat mereka, engkau akan mengira berlian- berlian yang bertaburan." (Al- Insan: 19)

Kenderaan Syurga

Seorang lelaki bertanya kepada rasulullah, "Apakah di dalam syurga ada kuda?" Rasulullah menjawab, "Mudah- mudahan engkau akan masuk syurga supaya engkau mendapat kenderaan berupa kuda yang dibuat daripada Yaqut (permata yang mahal) berwarna merah, engkau dapat terbang dengannya di dalam syurga ke mana sahaja engkau kehendaki." Lalu bertanya pula seorang lelaki lain, "Ya Rasulullah adakah terdapat unta di dalam syurga?" Berkata Rasulullah, "Mudah- mudahan Allah memasukkan engkau ke dalam syurga, dan di dalamnya engkau akan mendapatkan apa- apa sahaja yang diinginkan oleh keinginanmu dan apa- apa sahaja yang disenangi oleh matamu." (Riwayat al- Tarmizi)

Maha Suci Allah.
Aku benar- benar tergoda!

Cukuplah dengan angan- angan kosong,
Sesungguhnya syurga tak perlukan penonton yang budiman!

Ketenangan yang aku cari,
Tenyata bukan di sini, tapi jauh di sana.
Barangkali sedikit cuma yang mampu ku cedok di sini,
Kerana semuanya pinjaman, segalanya sementara.

Siapa yang tak ingin ke syurga,
Cuma persoalannya, mungkinkah aku ke sana?

Credits to: Us Pahrol Mohamad Juoi, Solusi Isu 38

TBH,
Kamar 2206,
Akasia.




.:Jangan Pernah Berhenti:.

Bismillah.

Aku telah redha dengan Allah sebagai Tuhanku, Islam sebagai agamaku, dan dengan Muhammad sebagai nabi dan rasulku.

Sangat terinspirasi dengan lagu ini,
Terima kasih buat ukhti yang mencadangkan, jzkllh.
Diharapkan agar insan- insan di sekeliling ana juga akan terkesan,
Bukan hanya pada lapisan epithelia hati, tapi biarlah hingga ke dasarnya.



Sunnah Orang Berjuang- Hijjaz

Berjuang menempah susah
Menanggung derita menongkah fitnah
Itulah gelombang hidup samudera duka
Seorang mujahid membela tauhid

Dipisah dia berkelana
Dibelenggu dia uzlah menagih mehnah
Namun jiwa tetap mara memburu cinta
Membara demi Allah dan rasulNya

Berjuang tak pernah senang
Ombak derita tiada henti
Tenang resah silih berganti
Inilah sunnah orang berjuang

Malamnya bagai rahib merintih sayu
Dihiris dosa air mata
Siangnya bagaikan singa di rimba
Memerah keringat mencurah tenaga

Berjuang memang pahit
Kerana syurga itu manis
Bukan sedikit mahar yang perlu dibayar
Bukan sedikit pedih yang ditagih

Berjuang ertinya terkorban
Rela terhina kerna kebenaran
Antara dua jadi pilihan
Dunia yang fana, atau syurga?

Duhai saudara dan saudari seagamaku,
Sesungguhnya aku begitu menyayangimu,
Bersyukurlah kalian kerana lahirnya kita dengan nikmat Islam,
Nikmat yang seringkali kita lupakan,
Kerana barangkali kita tak pernah kenal erti perjuangan,
Yakni pertempuran yang muallaf- muallaf itu rasakan,
Demi mencari jalan yang lurus menuju Tuhan.

PERJUANGAN,
Begitu luasnya perkataan ini ditafsirkan.

Ya,
Hidup itu perjuangan.

Sebagai hamba,
Kita berjuang menepis segala fitnah dunia,
Kerana kita yakin adanya nikmat menanti di sana,
Kita bermati- matian melawan nafsu,
Demi tunduk mencari redha Sang Pencipta.

Sebagai pelajar,
Kita berjihad di medan ilmu,
Agar nantinya kejayaan sudi bertandang,
Supaya Islam itu tidak dilihat lemah, tidak pula menjadi fitnah,
Dengan harapan ilmu itu dikongsi bersama,
Moga manfaatnya kelak dibawa hingga ke kuburan.

Sebagai anak,
Kita berjuang meraih redha ibu dan ayah,
Sentiasa waspada dalam perkataan dan perlakuan,
Agar sedikitpun tidak akan menyakiti mereka,
Sedaya mungkin cuba membayar jasa yang dicurahkan,
Meskipun selamanya takkan pernah terbalas.

Oh perjuangan,
Apakah ada pengakhirannya?

Firman Allah:

"Sungguh Allah telah membeli dari kaum mukminin jiwa dan harta mereka, dibayar dengan syurga." [At- Taubah: 111]

Bayarannya,
Syurga Allah yang Maha Luas.
Bukankah itu yang kita dambakan?

Maka,
Berpenat lelahlah,
Kerana kesenangan itu selepas kesusahan,
Bahagia itu seletah derita kesakitan.

Teruslah bergerak hingga kelelahan itu lelah mengikutimu,
Teruslah berlari hingga kebosanan itu bosan mengejarmu,
Teruslah berjalan hingga keletihan itu letih bersamamu,
Teruslah berjaga hingga kelesuan itu lesu bersamamu.


Walau apa pun perjuangan kita,
Moga ianya tak terhenti di sini.

Hamba yang dhaif,
Kamar Adibah,
Baiti Jannati.



.:Ke Mana Kita?:.

Bismillah.

Aku telah redha dengan Allah sebagai Tuhanku, Islam sebagai agamaku, dan dengan Muhammad sebagai nabi dan rasulku.

.MATLAMAT.
Apa yang kita cari?
Barangkali, masih ada yang kabur,
Atau mungkin masih ada yang tercari- cari,
Makna sebenar kehidupan.

Mengejar kemewahan, apakah pernah cukup?
Mencari kekuatan, apakah akan ditemui?
Mendamba kebahagiaan, apakah layak dipinjamkan?
Sedang erti kebahagiaan pun masih merangkak untuk difahami.

Jadi, untuk apa kita hidup?
Pastinya dengan satu tujuan,

"Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk menyembah Aku."
[Az- Zariat: 56]

Memperhambakan diri kita hanya untuk Dia.
Ana katakan HAMBA, maka berlagaklah seperti hamba,
Menyerahkan diri secara total, bukan separuh- separuh.

Sungguh,
Melangkah itu mudah, namun mencari arah itu yang terkadang payah,
Mencari jalan itu mudah, namun memahami destinasi itu yang susah,
Menyusuri susur itu mudah, namun menuju noktah itu pasti mendatangkan lelah,
Dalam semua ini, menjaga istiqamah itu yang paling susah, payah dan lelah.
Namun Dia amat faham bagi hambaNya, Dia tidak meminta manusia menjadi terbaik,
Hanya perlu untuk melakukan yang terbaik, meletakkan keyakinan penuh kepadaNya,
Lantas Dia akan menguruskan yang selebihnya.

Allah, pimpinlah kami kepadaMu,
Jadikanlah urusan dunia kami ini sebagai ibadah menujuMu.
Tundukkan hati- hati kami dalam ketaatan kepadaMu.
Kerana kami, hanyalah hambaMu yang tiada daya dan upaya.


Hamba-Mu

Ke arah satu perjalanan
Dalam sebuah kehidupan
Demi untuk mengecapi
Hasrat murni di dalam hati

Usaha dengan doa
Masanya akan tiba
Dengan restu Illahi
Kelak pasti akan ditemui

Suluhkan cahaya di hati terang
Tunjukkan jalan seandainya hilang
Tegakkan perjalanan yang bakal ditempuh
Tegakkan semangat bila runtuh
Setibanya di sisiMu ku berserah
Terimalah ku hamba-Mu, Allah

Sekiranya takdir menguji
Cekalkanlah hasrat di hati
Semoga kesusahan bisa
Mengajar erti terus asa

Tak kira ana atau kalian,
Tetapkanlah matlamat hidup kita,
Agar kita hanya fokus ke arah itu,
Berlari menuju noktah terakhir, tanpa perlu menoleh lagi,
Mungkin dalam perjalanan itu, kita akan terjatuh,
Bukan sekali, tapi berkali- kali,
Namun tegaskanlah pada diri, matlamat itu yang utama,
Kemudian, pastinya yang 'sampingan- sampingan' itu datang dengan sendiri.

Manusia,
Dalam konteks kehidupan,
Mungkin matlamatnya berbeza,
Tapi bukankah hakikatnya kita menuju yang SATU?

Hamba yang dhaif,
Kamar Adibah,
Baiti Jannati.

*terima kasih buat insan- insan yang selama ini menjadi sumber kekuatan tatkala diri ini tersungkur jatuh, syukur kerana diberi kesempatan untuk pernah dan masih menjadi sebahagian daripada kalian, sungguh diri ini sangat merindui tarbiyah bersama kalian.*

Murabbi: "all out kat sini, supaya dapat result cantik kat sana."

Bayt ridharfah: seperti terperangkap dalam foto ini.
Mungkin kita terpisah di sini,
Moga diizinkan untuk bertemu lagi,
Jika bukan di sini, di sana nanti.




.:Berkorban Demi Cinta:.

Bismillah.
Aku telah redha dengan Allah sebagai Tuhanku, Islam sebagai agamaku, dan dengan Muhammad sebagai nabi dan rasulku.

Ya Allah,
Aku rindu untuk bertemu denganMu,
Aku rindu untuk menatap wajah kekasihMu,
Aku rindu untuk bersama dengan para syuhadaMu,
Izinkan aku untuk menikmati syurgaMu,
Meski aku sangat jauh untuk berimpian sebegitu.


Semoga,
Sisa hidup ini takkan terbuang lagi,
Setiap detik masa dalam amalan jua,
Jangan dipisahkan denganMu kebahagiaan,
Semoga dengan ini jambatan menemui,
Cinta yang sejati, itu yang HAKIKI.

Tunjukilah aku jalan yang lurus,
Yakni jalan orang yang Engkau redhai.
[1:6]

Pemburu Mardhatillah,
03:31
Baiti Jannati,
Kemaman.


.:Hati Berkarat? -CLOROX!:.

Bismillah.

Aku telah redha dengan Allah sebagai Tuhanku, Islam sebagai agamaku, dan dengan Muhammad sebagai nabi dan rasulku.

Ini kisah HATI.

"Pada hari Kiamat sudah tidak berguna lagi harta benda, anak- anak kecuali orang yang datang menghadap Allah dengan hati yang sejahtera."
{As- Syura: 88-89}

Pernah tak kita rasa:

"grr..geram betul la aku dengan dia ni..serious annoying!"

"eh, jangan- jangan dia ni ada niat buruk kat aku.."

"kenapa la nasib aku selalu je macam ni.."

"argghh..serabutnya otak..stress! tension!"

"rindunya nak dengar suara dia.. (status: ajnabi)"

Ini sekadar contoh. Maafkan ana andai bait- bait ini menyakitkan, atau mungkin ada yang tersinggung. Bukan niat di hati untuk melukakaN, sekadar ingin berkongsi apa yang seringkali kita semua alami. Kerana kita, manusia biasa, yang tak memiliki sifat kesempurnaanNya.

"Ketahuilah bahawa dalam setiap jasad itu ada seketul daging yang apabila ia baik maka baiklah seluruh jasad dan apabila rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah ia adalah hati." {hadis riwayat Bukhari dan Muslim}
-rujuk hadis ke-6 dalam hadis 40

Berhati- hati dengan HATI. Terkadang, hati kita sakit, jiwa kita sempit, dirasakan seolah- olah terpaksa mendaki gunung yang tinggi. Tatkala diuji, kita mengeluh. Apabila disakiti, kita hilang sifat sabar dan cepat saja melatah. Mungkin juga tanpa sedar, kita bersangka buruk pada orang lain. Astaghfirullah..ampunkan dosa- dosa kami yang tinggi melangit.

Kenapa sampai ini terjadi?

Kerana hati kita- KOTOR.
Dibiarkan saja ia dikuasai nafsu dan syaitan. Apabila kedua- dua 'virus' ini merajai hati, rosak binasalah hidup kita. Dalam kekalutan dunia, terkadang kita alpa untuk muhasabah kembali diri yang hina. Adakah kita punya hati dan jiwa yang bersih? Seandainya tidak, apakah amalan kita diterima?

Dan untuk itu, cuba kita 'check' balik, cantik tak cara hidup kita? Atau mungkin ada antara perkara- perkara sedemikian yang kita lakukan tanpa sedar? Nampak biasa, tapi impaknya pada hati:

Pergaulan yang tidak berfaedah

Berwaspadalah dalam pergaulan. Apabila kita banyak bergaul dengan orang yang kotor hatinya, hati kita sedikit sebanyak akan turut kotor, paling kurang pun, tempias bau busuknya. Berhati- hatilah dalam memilih teman. Pilihlah yang hatinya dekat dengan Allah. Kawan, kadangkala boleh menjadi lawan, jika persahabatan yang terbina tidak diikat kerana Allah.

"Teman-teman akrab pada hari itu sebahagiannya menjadi musuh kepada sebahagian yang lain kecuali orang- orang yang bertaqwa."
{Az- Zukhruf: 67}

Namun, janganlah pula kita tinggalkan mereka yang terumbang- ambing. Bimbinglah mereka kembali ke jalan yang diredhai. Sesungguhnya, beruntunglah bagi orang- orang yang sabar menyeru manusia ke jalan Allah.

Tidak berharap kepada Allah

Enggan berharap kepada Kholiq adalah penyakit yang sangat berbahaya. Mungkin saja kita tidak berniat mensyirikkan Allah, tapi berhati- hati kepada perkara yang boleh membawa kepada menduakan Allah. Sebagai contoh, kita terlalu meletakkan harapan dan pergantungan kepada makhluk, bukan Pencipta. Terlalu menagih janji manusia sehingga kita menyangkal takdir Allah. Bukankah Dia berkuasa membolak- balikkan hati hambaNya? Tidakkah Dia berkuasa menarik orang- orang di sekeliling kita? Sungguh, hanya kepada Dia-lah tempat kita bergantung dan berlindung.

"Hanya kepada Engkaulah kami sembah dan hanya kepada Engkaulah kami mohon pertolongan."
{Al- Fatihah: 5}

Eh, setiap kali baris ayat ummul kitab ni kita baca, baik dalam solat mahupun sebagai pembuka majlis, ada 'rasa' tak kat hati?

Terlalu banyak makan sampai kenyang

Hidup untuk makan atau makan untuk hidup? Memang sukar untuk memilih. Adakalanya, nafsu makan kita melampau, barangkali lupa pada yang lebih memerlukan. Bukankah nafsu yang berlebihan ini datangnya daripada godaan syaitan? Mungkin tak logik untuk difikirkan, apa kaitan makan dengan hati? Nah, cuba kita lihat:

Premise 1: Jika makan berlebihan, maka perut jadi kenyang.
Premise 2: Jika perut kenyang, maka malas nak beribadat.
Konklusi : Jika makan berlebihan, maka malas nak beribadat.

Masih tak percaya lagi? Tepuk dada, tanya iman.

Moga kita tak lupa pada kandungan khutbah terakhir Nabi Muhammad s.a.w, biarlah selamanya menjadi pedoman:

"Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara besar, maka berjaga- jagalah supaya kamu tidak mengikuti dalam perkara- perkara kecil."

Pandangan yang berlebihan

Melihat sesuatu, haruslah pada tempatnya, mestilah berpada- pada dan sentiasa bersederhana. Jangan sampai berlebihan, bimbang andai timbul penyakit di hati. Tak dinafikan, kebanyakan punca fitnah datangnya daripada mata. Tatkala mata melihat, isyarat dihantar kepada hati, terus saja anggota badan diarah untuk bertindak. Rasulullah menegaskan dalam sebuah hadis,

"Pandangan adalah sebahagian anak panah iblis yang beracun, sesiapa menahan pandangannya, Allah memberikan rasa manis yang ia temukan di hatinya sampai ia berjumpa dengannya."

Nak tahu tak macam mana rasa 'manis' yang nabi kita maksudkan? Cubalah tahan pandangan! :)

Kata- kata yang keterlaluan

LIDAH. Nikmat Allah yang selalu kita kena jaga. Sebelum melafazkan sesuatu, baik melalui percakapan mahupun penulisan, fikirlah sebaiknya. Bukan sekali atau dua, tapi renungkan berkali- kali. Dunia sekarang mendedahkan kita kepada pelbagai medium untuk kita luah rasa. Kalau dulu hanya surat- menyurat, sekarang, telefon bimbit, facebook, twitter, blog dan pelbagai lagi yang jika tak dikawal, punahlah segalanya. Cuba kita renung sejenak, apa yang kita peroleh jika kita mengeluarkan kata- kata yang menyinggung perasaan orang lain? Bukan hati orang saja yang sakit, jiwa kita pun akan bertambah parah. Bukankah begitu? Seandainya dirasakan ucapan kita hanya akan mengundang kemarahan, biarpun ingin menyatakan kebenaran, maka diam itu lebih baik. Terkadang, bukan semua perkara kita harus luahkan, pertimbangkan baik dan buruknya. Jika mudharatnya pasti, tapi faedahnya masih kabur- kabur, ada baiknya kita memilih untuk diam. Diam itu perlu, bukan bermakna kita mengaku kalah, tapi demi mengelakkan berlakunya lebih banyak kehancuran. Rasulullah berkata kepada Muaz,

"Banyak orang yang diseksa di neraka disebabkan kerana perbuatan lisannya."
{hadis daripada Tirmizi dan Ibnu Majah}

Sungguh, ana bukanlah orang yang layak menasihati kamu dan mereka, kerana ana hanya insan yang hina. Sekadar ingin berkongsi ilmu yang sedikit ini, rasa untuk memberi walau diri ini tak punya apa- apa. Dapatlah ana simpulkan, untuk memiliki hati yang sejahtera, sentiasalah:

Berlapang dada, dengan Allah dan semua manusia

Maafkan kesalahan orang lain, walau diri disakiti

Berfikiran positif, walau kesusahan melanda

Berdamping dengan alim ulama dan para solihin

Tetap tersenyum, walau diri terluka

Bersedekah, kerana memberi itu indah

Jadikan al- Quran, sebagai pengubat jiwa

Sebagai manusia, bukanlah mudah untuk kita lakukan semua ini, tapi apa salahnya mencuba? Kita memang tak punya hati yang suci seperti Nabi Muhammad s.a.w, tapi andai bersama dengan baginda di syurga tertinggi itu yang kita impikan, kenapa tak sanggup untuk menahan diri sementara cuma demi kebahagiaan yang hakiki?

Sucikan hati, bersihkan jiwa, andai rehda Allah yang kita cari. Tenanglah wahai hati, Kau pasti akan menemui Tuhanmu suatu hari nanti.

"Wahai hati yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati dan diredhainya di sisi Tuhanmu."
{Al- Fajr: 27-28}

Sungguh, masih segar dalam ingatan, bait- bait murabbi,

"Bagaimana mungkin hati yang mati boleh menghidupkan hati mati yang lain.."

Allahu Allah..moga hati ini masih tetap hidup dalam limpahan iman.

(credits to: Ibnu Qayyim Al- Jauziyah, Bahagiakan Hatimu)

Bermusafir lagi ke INTEC,
Kamar 2/206,
Akasia, Shah Alam.













.:My Everything:.

.:My Everything:.

..:coReTAn diRi:..

Pengembara di bumi Tuhan yang mencari hikmah dalam setiap ketentuan. Menulis dari hati menemukan penulis dengan ketenangan.

..:dROp By:..

.:FoLLoWErs:.